Senin, 19 Oktober 2015

percobaan blog baru


pelangi senja

Aku menyekat airmata yang mengalir sebelum ada orang yang nampak. Sengaja aku mengambil tempat di hujung sudut agar tiada siapa yang terkesan dengan keadaanku saat ini. Aku terus mendongakkan kepala apabila merasa seseorang memanggil namaku.
“Kenapa duduk sini? Tak nak teman abang ke?” soal Razin seraya mengambil tempat disebelahku.
Aku memandangnya sambil tersenyum.
“Maaf, bang. Tadi Laila ingat abang berbual dengan Pak Ngah Yakup. Itu yang Laila tak teman abang,” jawabku. Razin mengangguk-anggukkan kepalanya
“Laila…Laila ingat tak apa janji kita dulu? Selepas seminggu kita berkahwin?”
Aku mengerutkan dahi, kurang mengerti maksud Razin, suamiku sejak lapan tahun lalu. Atas aturan keluarga, aku bersetuju untuk berkahwin dengan Razin walaupun aku tidak mengenali Razin waktu itu. Menurut orang tuaku, ibu bapa Razin yang ingin menjodohkan anak mereka denganku. Dulu pernah juga aku tertanya-tanya kenapa Razin tidak membantah tentang perjodohan ini memandangkan wajahnya yang sedap mata memandang itu mustahil untuk tidak mempunyai seseorang yang istimewa.
“Saya yakin pilihan ibu bapa adalah yang terbaik. Tiada salah saya mengikut kata mereka.”
Itulah ayat yang diucapkannya ketika hari pertama kami bergelar suami isteri. Sejak saat itu, kami menikmati perkahwinan kami sama seperti pasangan yang berkahwin atas dasar cinta. Jujur aku katakan, selepas berkahwin, barulah aku tahu bagaimana rasanya bercinta.
“Tidak boleh ada rahsia antara kita…” aku menyebut perlahan janji yang telah kami meterai.
“Bagus kalau Laila sudah ingat. Tapi abang rasa Laila tak tepati pun janji itu,” sindir Razin.
“Maksud abang?” soalku tidak faham.
“Abang tahu tadi Mak Ngah ada cakap sesuatu pada Laila sampai Laila menangis. Mak Ngah cakap apa tadi?”
Aku diam. Tidak sangka dalam Razin sibuk berbual dengan Pak Ngah Yakup tadi dia sempat melirik ke arahku yang duduk dengan Mak Ngah Kiah dan anak bongsunya, Wawa yang seumur denganku.
“Laila…”panggil Razin.
“Mak Ngah…Mak Ngah cuma beritahu yang hujung tahun ni dia nak buka butik di Kuala Belait,” bohongku kerana perkara itu sudah dimaklumkan oleh keluarga Mak Ngah sebulan lalu ketika kami berbuka puasa di rumah Mak Ngah.
“Bila kita sekali berbohong, kita pasti akan berbohong untuk yang seterusnya. Oleh kerana abang tak nak Laila berdosa kerana menipu suami sendiri, sebaiknya Laila cakap jujur pada abang.”
Aku mengetap bibir. Pastinya aku sukar untuk berbohong dengan Razin yang sememangnya sudah faham dengan perangaiku yang tidak pandai menutup riak wajah. Aku memandang ke ruang tamu dan mataku tiba-tiba tertancap pada Mak Ngah Kiah yang sedang berborak dengan ibu mertuaku, Zarina. Aku mencari kelibat Wawa namun tiada.
Mungkin dia berada di luar menemui sepupunya yang lain memandangkan majlis doa selamat hari ini diadakan bagi meraikan kepulangan Wawa dari Scotland dalam bidang Biologi seminggu lalu. Tidak sangka, Mak Ngah Kiah mempunyai anak perempuan yang sama umur denganku kerana Razin dan mertuaku juga tidak ada memberitahu aku tentang Wawa sedangkan hampir ke semua sepupu suamiku aku sudah mengenali dan ada juga yang ketika kami berjumpa, akan bertegur dengan rapat.
“Cantikkan Wawa tu, bang?” soalku.
Razin mengangkat kening tanda hairan. Aku tersenyum meliat reaksinya.
“Laila baru tahu yang abang ada sepupu yang baru pulang dari Scotland. Sudah sampai tahap kelulusan Masters Wawa tu. Rugi siapa yang pernah tolak dia,” ucapku lagi. Tiba-tiba ayat yang cuba aku hilangkan muncul semula. Sebak rasa hatiku kembali menghenyak perasaanku.
Razin yang perasan dengan perubahanku terus memusing badanku untuk menghadapnya. Aku memandang matanya. Namun hanya seketika kerana aku tidak sanggup memandangnya lama.
“Beritahu abang dengan jujur apa yang Mak Ngah cerita pada Laila? Cepat cerita…” desaknya.
“Mak Ngah cakap yang dulu abang dengan Wawa sebenarnya hendak dijodohkan tapi abang menolak. Kemudian kita berkahwin atas pilihan ibu abang dan abang bersetuju. Lapan tahun kita kahwin, tapi belum ada anak. Mungkin sebab abang kahwin dengan Laila jadi abang belum ada zuriat. Mak Ngah kata kalau abang kahwin dengan Wawa dulu, mungkin sekarang anak abang sekarang dah ramai. mungkin…” aku diam sejenak. Cuba mengumpul kekuatan. “..pilihan abang kahwin dengan Laila ni….”
Belum habis aku bicara, Razin terus menyuruh aku diam. Dia mengambil tanganku kemudian mengenggamnya erat.
“Laila…untuk pengetahuan Laila, abang tak pernah menolak untuk dijodohkan dengan Wawa tapi ibu. Ibu yang tidak dapat menerima kerana baginya hubungan sepupu itu biarlah kekal sebagai sepupu. Abang tiada bantahan sehinggalah ibu mengatur perkahwinan kita ini dengan mama. Laila belum berpunya waktu itu, begitu juga dengan abang jadi tiada salahnya abang bersetuju. Alhamdulillah, persetujuan abang membawa kebahagiaan. Sampai sekarang Allah beri abang peluang untuk menjadi imam kepada Laila. Insya Allah, dengan izin Allah juga, abang akan jadi imam untuk anak-anak kita nanti, Insya Allah. Soal ada atau tiadanya zuriat, itu kerja Allah. Kita sebagai manusia hanya berusaha dan bertawakal kepada Allah. Pasti ada hikmah kenapa semua ini berlaku. Kita tidak boleh mempertikaikannya.” Ulas Razin, panjang.
Hampir saja menitis airmataku dengan kata-kata suamiku sebentar tadi. Adakah aku sedang mengeluh? Ya Allah, jauhkanlah aku dari bersifat sedemikian. Aku harus kuat untuk menghadapi ujian ini Ya Allah. Aku yakin dengan ketentuanMu. Doaku di dalam hati.
“Sudah, mari kita balik.”
*****
Aku membetulkan tudungku yang senget akibat angin yang kuat dari arah timur. Beberapa saat kemudian, terasa ada seorang lelaki duduk dibangku sebelahku. Aku memandang lelaki itu dan tersenyum. Tanganku digapainya seakan tidak mahu dilepaskan. Aku melentokkan kepala ke bahunya. Untuk seketika, kami berdua menikmati keindahan taman permainan yang dipenuhi dengan kanak-kanak kecil di kawasan perumahan kampong itu. Memang setiap Jumaat dan Ahad petang, kami berdua akan selalu ke taman itu untuk melihat kenakalan kanak-kanak yang ada disana.
“Seronok tengok kanak-kanak bermain itu kan, bang?” soalku perlahan.
“Hmm..”
“Kalau ada anak sen….”
“Laila, Insya Allah kalau ada rezeki, kita akan dapat anak. Bersabarlah. Janji Allah itu pasti. Lagipun kita sudah buat pemeriksaan dan Alhamdulillah kita berdua tidak disahkan mandul. Beerti kita masih ada harapan. Jangan putus asa ya, sayang..” pujuk Razin. Aku mengangguk perlahan.
Memang kami pernah membuat pemeriksaan doktor berkali-kali sepanjang tempoh kami berkahwin hampir lapan tahun ini dan setiap kali itu juga doktor mengesahkan kami berdua tiada sebarang masalah. Mungkin benar kata Razin, pasti ada hikmah kenapa kami lambat dikurniakan anak.
“Abang..andai ditakdirkan Laila mengandung, abang nak anak lelaki atau perempuan?” aku menanyakan soalan untuk masa depan.
Razin tersenyum. “Abang tak kisah lelaki ataupun perempuan. Cukup untuk dia mentaati kita, mengerjakan segala suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya, itu sudah baik untuk abang. Namun entah, sempat atau tidak abang menjaganya nanti. Tapi Laila janji dengan abang ya akan jaga anak kita ini dengan penuh kasih sayang bila abang sudah tidak ada lagi.”
Aku memandangnya. “Apa abang cakap ni? Insya Allah,bang. Kita akan menjaga dan membesarkannya bersama-sama. Dia akan merasa kasih sayang dan didikan dari kedua-dua orang tuanya.”
Tidak dapat aku bayangkan bagaimana dengan diriku jika Razin tidak lagi ada untuk bersamaku. Terlalu banyak kenangan kami bersama selama tempoh lapan tahun itu. Tiba-tiba kepalaku berdenyut-denyut. Lantas tangannya kulepaskan dan memegang kepalaku.
“Kenapa ni?” soal Razin cemas.
Aku menggelengkan kepala tanda tidak tahu. Sejak pagi lagi aku sudah mengalami keadaan ini ketika sedang membersihkan halaman rumah bersama Razin. Razin menyuruh aku berehat di dalam bilik. Sehingga jam satu petang, barulah rasa sakit itu tiada. Namun rasa itu kembali menerjah.
“Kita balik sekarang. Laila rehat di rumah ya?”
Razin menyuruhku bangun dan kemudian dia memapahku yang dalam keadaan lemah.
*****
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Tidak berhenti kalimah itu aku lafazkan sejak keluar dari klinik. Akhirnya doaku dan suami sudah termakbul. Aku akan mengkhabarkan berita gembira ini kepada suamiku. Kereta yang kupandu terus berjalan sehinggalah masuk ke perkarangan rumah. Aku tersenyum apabila melihat kereta Tucson milik Razin ada di situ. Tanpa berlengah, aku turun dari perut kereta dan berlari melulu ke dalam rumah.
“Abang!” panggilku.
Aku mencarinya di ruang dapur namun tiada. Rumah itu juga senyap sunyi. Mungkin Razin sekarang sedang tidur. Fikirku. Aku terus saja mendaki tangga. Sebelum sampai ke tangga terakhir, aku secara tidak sengaja terpijak kainku. Nasib baik aku sempat mengimbangi badanku agar tidak terjatuh. Aku menarik nafas lega dan meneruskan langkah menaiki tangga dengan perlahan.
Sampai saja di hadapan pintu bilik, aku berhenti. Pintu bilik kuketuk perlahan. Setelah ketukan yang ketiga, aku memulas tombol pintu. Daun pintu terkuak dan aku melihat suamiku sedang berbaring di atas katil. Oh tidur rupanya…
Aku mendekatinya seraya duduk di sebelahnya.
“Abang…” panggilku perlahan. Tiada sahutan kedengaran.
Aku memanggilnya lagi. Namun Razin masih kaku disitu, tidak bergerak. Aku menepuk perlahan lengannya agar memberikan sebarang respon namun hampa. Razin masih seperti tadi. Perasaanku tiba-tiba jadi tidak enak bagai ada sesuatu yang bakal terjadi. Tangan kualihkan ke hidungnya dan aku pantas menekup mulut. Aku tidak percaya! Tidak, ini tidak mungkin!
“Abang…bangun. Abang bangun!” Aku menggerakkan badannya agak kuat. Tangisanku mula kedengaran.
“Abang!!!!” jeritku.
“Abang jangan tinggalkan Laila,bang. Laila masih perlukan abang. Anak kita…anak kita perlukan abang. Bangunlah, bang…” ujarku berselang-seli dengan tangisan.
Sukar untuk aku mempercayai. Aku ke klinik untuk membuat pemeriksaan doktor memandangkan sejak aku di taman permainan enam minggu lalu, sakit kepalaku semakin menjadi-jadi dan cepat letih. Rasa mual juga seringkali melanda diriku ketika itu. Selepas doktor memeriksa keadaanku, dia mengucapkan tahniah kepadaku. Aku terkejut bercampur gembira dengan berita itu. Setelah lapan tahun kami berkahwin, akhirnya aku mengandung. Niat dihati ingin memberikan kejutan kepada suamiku secara berhadapan kerana perkara seperti ini aku tidak mahu dikongsikan melalui telefon, namun belum sempat aku memberitahunya, dia sudah pergi meninggalkanku.
Aku pandang wajah suamiku. Airmataku semakin deras mengalir. Dahinya segera kukucup. Lama. Cuba meminjam sedikit kekuatan agar aku dapat menerima kepergiannya walaupun aku yakin ia memerlukan masa yang lama.
“Abang…Laila sayang abang.” Usai ayat itu, aku menelefon orang tuaku dan mertuaku.
*****
Buku yasin disimpan ke dalam beg sebaik saja selesai membaca surah tersebut. Aku memegang batu nisan yang bertulis nama suamiku. Sudah empat bulan Razin meninggalkan aku namun aku masih merasa baru saja dia meninggalkan aku.
“Abang… semoga abang damai di alam sana. Laila akan janji dengan abang untuk jaga anak kita ini..” aku memegang perutku yang sudah nampak semakin membesar. “..dengan ajaran Islam selayaknya seseorang bergelar Muslim.”
Aku mengesat airmataku yang ingin mengalir. Aku harus kuat dan menerima kenyataan bahawa setiap yang bernyawa pasti akan menemui mati. Walaupun Razin sudah tiada, aku akan menjaga anak ini dengan sepenuh kasih sayangku kerana inilah tanda cinta aku dan Razin.
Aku bangun dari dudukku dan menggulung tikar. Sempat aku mendoakannya sebelum aku meninggalkan pusaranya. Ketika sampai ke kereta, aku menoleh ke pusaranya dan memegang perutku.
“Sayang…nanti kita datang sini lagi ya. Kita ke pusara ayah lagi..” ucapku kepada anak yang berada dalam kandunganku.
Baru saja aku ingin membuka pintu, aku terasa pening. Saat aku ingin rebah, aku terasa ada seseorang yang menyambutku.
“Puan..puan tidak apa-apa?” suara orang itu membuatkan aku segera memandangnya.
Rasa pening tadi serta-merta hilang melihat wajah lelaki itu. “Razin?”
“Siapa Razin, Puan? Saya Daim.” Ujar lelaki itu.
Aku mengurut dahi. “Maafkan saya. Rupa awak sama dengan rupa arwah suami saya.”
Dia tersenyum. “Oh, tidak mengapa. Tapi Puan okay ke ni?” soalnya.
Aku sekadar menganggukkan kepala menunjukkan aku baik-baik saja. “Kalau begitu saya pergi dulu. Terima kasih sebab bantu saya tadi. Assalamu’alaikum.”
“Wa’alaikumussalam.” Balasnya sebaik saja aku masuk ke dalam kereta. Aku tersenyum kepadanya sebelum memulakan perjalanan.
‘Abang…melihat Daim tadi menguatkan rasa Laila yang abang akan sentiasa berada dekat dengan Laila dan anak kita.’
-TAMAT-